Tuesday, May 18, 2010

25,289 pegawai pendidikan siswazah, diploma naik pangkat

KUANTAN: Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan (LKPPP) meluluskan 25,289 kenaikan pangkat kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma atau Bukan Siswazah (PPPLD) sehingga April lalu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, inisiatif itu diambil Kementerian Pelajaran bagi menyediakan laluan kerjaya lebih baik untuk guru.
“Daripada jumlah itu, 15,320 jawatan PPPS, manakala 9,969 jawatan lagi bagi PPPLD. Pecahan kenaikan pangkat ini membabitkan tiga kategori iaitu time-based, guru cemerlang dan kenaikan pangkat secara hakiki bagi kategori DGA32, DGA34, DG44, DG48, DG52 dan DG54," katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran sambutan Hari Guru 2010 peringkat Kebangsaan Ke-39 di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang, dekat sini, semalam.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan lebih 20,000 guru termasuk pengetua dan guru penolong kanan hal-ehwal murid (PK HEM) akan menikmati kenaikan pangkat, elaun dan manfaat lain sempena sambutan Hari Guru.

Muhyiddin berkata, kenaikan pangkat itu juga merangkumi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran negeri, pejabat pelajaran daerah dan pensyarah Institut Pendidikan Guru.

“LKPPP juga meluluskan 3,205 jawatan pemangkuan gred DG44, DG48 dan DG52 bagi PPPS,” katanya.
Beliau berkata, bagi mempercepatkan proses kenaikan pangkat, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga bersetuju urusan kenaikan pangkat secara time-based Gred DG44 dan DG48 bagi PPPS dilaksanakan Kementerian Pelajaran.

Katanya, sejajar matlamat kementerian meningkatkan kualiti guru, PPPS yang memperoleh ijazah Doktor Falsafah akan menikmati kenaikan satu gred jika memenuhi kriteria dan syarat akan ditetapkan kementerian.

“Pelaksanaan kenaikan gred bagi pemegang ijazah Doktor Fasafah akan dilaksanakan tahun ini.

“Saya berharap proses kenaikan pangkat dan pengesahan pemangkuan bagi mereka yang memenuhi syarat diurus segera,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin turut meluangkan kira-kira sejam mengunjungi Festival Hari Guru di pusat beli-belah East Coast Mall, di sini dengan melawat tapak pameran dan jualan serta beramah mesra dengan pengunjung.

Festival kali kedua itu dianjurkan sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan tahun ini.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang tempoh festival termasuk pameran Hari Guru, jualan dan demonstrasi produk,
permainan berasaskan pendidikan serta jualan buku.

 Habeeb : tunggu apa lagi?? ayoh rebut!!! setelah dibaca kali kedua artikel ini terdapat sedikit kemusykilan atau tanda tanya yang perlu diperhatikan, iaitu pada ayat : “LKPPP juga meluluskan 3,205 jawatan pemangkuan gred DG44, DG48 dan DG52 bagi PPPS,” katanya.
Beliau berkata, bagi mempercepatkan proses kenaikan pangkat, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga bersetuju urusan kenaikan pangkat secara time-based Gred DG44 dan DG48 bagi PPPS dilaksanakan Kementerian Pelajaran." adakah mereka dinaikan pangkat atau selayaknya mereka mendapat pangkat tersebut secara time based?? oh fikirkanla...

0 comments:

 

Tags

Site Info

Followers