Wednesday, May 12, 2010

200 kali lebih manis (KOSMO)


KEPELBAGAIAN risiko penyakit yang disebabkan oleh gula dan pertambahan jumlah kalori dalam tubuh menjadi antara faktor utama sesetengah orang beralih kepada penggunaan gula alternatif. Jika pengambilan gula secara berlebihan dianggap tidak sihat, adakah penggunaan gula alternatif pula satu pilihan bijak?

Menurut Pakar Kesihatan Umum, Unit Diabetes dan Penyakit Kardiovaskular, Jabatan Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Feisul Idzwan Mustapha, penggunaan gula alternatif atau pemanis tiruan sesungguhnya tidak digalakkan oleh KKM.

Tindakan ini difahami kerana pada asasnya KKM ingin mendidik rakyat Malaysia agar membuang tabiat mengambil makanan atau minuman manis.

Pemanis tiruan atau turut digelar sebagai pengganti gula itu lazimnya digemari oleh golongan perancang diet ekoran jumlah kalorinya yang rendah. Sebab itulah pemanis artifisial biasa digunakan dalam kebanyakan program melangsingkan tubuh bagi mencegah pertambahan berat badan.

Pakar diet dari Hospital Pantai Ampang, Kuala Lumpur, Nor Lizawati Che 'Lah yang ditemui Kosmo! memberitahu, pada asasnya pemanis tiruan terbahagi kepada dua kategori - bernutrisi dan tidak bernutrisi.

Kumpulan yang bernutrisi itu biasanya dikenali sebagai gula alkohol dan banyak terkandung dalam buah-buah beri. Contoh gula tiruan ini termasuk sorbitol, xylitol dan mannitol.

"Harus ingat bahawa nutrisi pemanis tiruan ini hanya setengah atau sepertiga daripada gula biasa dan kalau diambil secara berlebihan juga boleh memudaratkan," katanya.

Golongan pesakit diabetes ada kalanya beralih kepada penggunaan pemanis tiruan bagi menyedapkan rasa makanan tanpa perlu bimbang akan kenaikan paras gula.

Namun, pakar-pakar penyelidik antarabangsa juga berkali-kali mengingatkan bahawa sesetengah produk 'bebas gula' turut mengandungi pemanis tiruan seperti sorbitol dan mannitol.

Biarpun dengan kadar kalori yang rendah, jenis pemanis ini masih berpotensi menjejaskan paras gula dalam darah pesakit diabetes.

Manis kimia

PEMILIHAN produk makanan yang menggunakan pemanis artifisial perlu dilakukan dengan berhati-hati. - Gambar hiasan.


Kelompok pemanis tiruan yang tidak bernutrisi pula antaranya terdiri daripada nama-nama seperti aspartame, sakarin, sukralose dan asesulfame potasium (K). Tahap kemanisan bahan-bahan artifisial yang terhasil daripada bahan kimia ini lazimnya adalah 200 kali ganda daripada gula biasa.

Rasa manis yang disumbangkan oleh pemanis tiruan ini walau bagaimanapun tiada gunanya memandangkan ia bukan sumber pembekal tenaga kepada tubuh.

Para penyelidik dunia turut menganggarkan terdapat ribuan produk harian di pasaran hari ini yang mengandungi pemanis tiruan khasnya aspartame.

"Banyak kajian luar negara yang dijalankan ke atas aspartame menunjukkan kesan pengambilan aspartame dalam jangka masa panjang dikaitkan dengan serangan panik secara mengejut, sawan, sakit kepala, masalah halusinasi dan perubahan mood," tambahnya.

Ekoran potensi aspartame menjejaskan tahap kesihatan tubuh, golongan juruterbang Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) turut diingatkan agar tidak mengambil aspartame dalam apa juga amaun sekalipun.

Nor Lizawati menambah, dalam kebanyakan kes, golongan pengguna yang mempunyai alahan lazimnya akan merasai kesan-kesan negatif pengambilan pemanis tiruan dengan serta-merta. Oleh sebab faktor keselamatan, kanak-kanak dan ibu mengandung atau yang sedang menyusu tidak digalakkan untuk mengambil pemanis artifisial.

Meskipun penggunaan pemanis-pemanis tiruan telah diluluskan oleh Pentadbiran Ubatan dan Makanan (FDA) AS, pengguna masih perlu mematuhi saranan pengambilan harian (ADI) yang dibenarkan oleh FDA.

Untuk setiap jenis pemanis tiruan berbeza, FDA telah menggariskan satu amaun maksimum yang dianggap selamat bagi pengambilan harian sepanjang hayat anda. Sukatan pengambilan harian aspartame yang tidak sesuai digunakan untuk memasak ialah 50 miligram (mg) per kilo dan ini bersamaan dengan 18 hingga 19 tin cola diet.
PELBAGAI produk pemanis dijual di pasaran pada hari ini. - Gambar hiasan.



Pemanis sakarin pula tidak harus diambil melebihi 5 mg per kilo dalam sehari. Amaun ini juga bersamaan dengan sembilan hingga 12 pek pemanis.

"Asesulfame potassium (K) yang diluluskan oleh FDA sebagai pemanis artifisial yang selamat pada Julai 1988 pula dihadkan pengambilan harian tidak melebihi 15 mg per kilo," jelasnya.

Jumlah ADI untuk Asesulfame K yang boleh digunakan untuk memasak ini adalah bersamaan dengan pengambilan 30 hingga 32 tin air soda lemon diet. Manakala pengambilan harian pemanis sukralose pula tidak boleh melebihi 5 mg per kilo.

Tahap keselamatan penggunaan pemanis asesulfame K dan sukralose turut menimbulkan keraguan dalam bidang kesihatan sedunia. Asesulfame K dilaporkan sebagai dalang kepada beberapa masalah kesihatan seperti pembentukan tumor pada paru-paru, tumor payu dara dan beberapa jenis tumor yang jarang berlaku pada organ-organ tubuh lain.

Walau apa juga alasan anda untuk mempertahankan pendirian yang ingin terus menggemari makanan manis, golongan pengamal perubatan sejagat ada seribu satu sebab mengapa hajat itu perlu dihentikan dengan serta-merta.

Lebih penting, mereka perlu percaya bahawa kehidupan yang lebih manis dan bermakna pada hari esok tidak terletak pada amaun gula yang ditambah, tetapi, pada jumlah sukatan gula yang anda kurangkan pada hari ini. - YEO LI SHIAN

0 comments:

 

Tags

Site Info

Followers